sahabat-sahabat

September 27, 2011

University of Oxford - Hizami Iskandar

alt
University of Oxford - Hizami Iskandar | iluvislam.com + discover the beauty of islam


Saya Mohd Hizami bin Mohd Iskandar, berasal dari Kuala Lumpur. Pada tahun 2006-2009, saya mengaji di University of Oxford dalam bidang Perundangan.
Sebelum itu, saya mengambil A-Level di Kolej Yayasan UEM bersama co-founders iLuvislam.com (Ruzaini, Firdaus, Imran, Izwan dan Yusuf) dan beberapa orang lagi krew iLuvislam.com.
Kini saya bekerja sebagai eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB) Kuala Lumpur.
Mitos Oxford
Oxford memang banyak mitosnya, dan salah satu mitos yang perlu dihapuskan serta-merta ialah tanggapan bahawa lebih susah untuk mendapat tempat di Oxford berbanding dengan Cambridge.
Sama sahaja sebenarnya - masalahnya, oleh sebab jauh lebih ramai pelajar memilih untuk memohon tempat di Cambridge, maka tak hairanlah terdapatnya lebih ramai pelajar Malaysia di Cambridge berbanding dengan Oxford!
Kalau dah berazam nak datang, jangan hiraukan statistiknya - pohon sahaja, dan tawakal kepada Allah.
Sistem Pengajian
Semestinya Oxford memberikan suasana dan taraf pembelajaran yang memang susah untuk ditandingi.
Sebagai seorang pelajar perundangan di Oxford, setiap minggu, saya diberikan senarai kes-kes dan artikel untuk dibaca - amnya, setiap senarai akan mengambil masa lebih kurang 30 jam untuk dihabiskan.
Kami cuba mengurangkan penggunaan buku teks, dan menggunakan bahan asal, iaitu kes dan jurnal, supaya kami tidak terlalu dipengaruhi oleh pendapat penulis-penulis buku teks, dan lebih bebas untuk membuat kesimpulan kami sendiri.
Selepas habis membaca bahan untuk suatu minggu itu, dan betul-betul memahaminya, kami akan menulis karangan yang telah ditetapkan untuk minggu tersebut.
Selalunya, karangan ini akan membolehkan kami menyuarakan pendapat dan kesimpulan kami sendiri tentang satu isu yang penting berkaitan topik yang dipelajari pada minggu itu.
Setiap minggu, akan ada perbincangan dengan pensyarah - selalunya lebih kurang sejam, dan biasanya dengan seorang lagi pelajar, ataupun seorang diri dengan pensyarah.
Dalam perbincangan inilah idea-idea dan kesimpulan yang telah kami dapat setelah membaca bahan yang disarankan dapat disalurkan, dibahaskan, dan diuji keutuhannya, sehinggalah pensyarah pasti bahawa kami telah betul-betul memahami topik untuk minggu tersebut.
Memang menarik, memang seronok, dan amatlah memberangsangkan - selagi kami ada kes ataupun artikel dan hujah yang logik, walaupun pensyarah mungkin tidak bersetuju dengan kesimpulan kami, tetapi masih lagi diterima - begitulah kebebasan yang diberi untuk berfikir.
Inilah aspek yang paling menarik tentang pembelajaran di Oxford - kami dihumbankan ke dalam kegelapan, dan diberi pelita dalam bentuk pembacaan dan perbincangan mingguan, tetapi jalan yang akan kami ambil, dan destinasi yang akan kami sampai, bebas untuk kami carikan sendiri.
Islam di Oxford
Salah seorang ulama yang terulung di Oxford, Sheikh Afifi-al Akiti, pernah menyifatkan pengajian di Oxford sebagai meneruskan tradisi pengajian yang dipelopori oleh madrasah-madrasah Islam yang ulung pada zaman kegemilangan Islam.
Bayangkan, dalam setiap satu daripada 39 kolej di Oxford, dikumpulkan sarjana-sarjana dari pelbagai bidang, dan pelajar yang datang untuk menuntut pelbagai bidang juga, dan dalam suasana ini, dibolehkan perbincangan, perdebatan, dan perkongsian antara manusia yang berbagai-bagai bidang dan pengalamannya - inilah keunikan Oxford, dan salah satu sebab utama untuk anda memilih untuk meneruskan pengajian di sini.
Oxford Centre of Islamic Studies
Oxford sememangnya diberikan baraqah dari Allah SWT dengan adanya sarjana-sarjana Islam yang bersama menegakkan keilmuan Islam di Oxford Centre of Islamic Studies.
Pada satu masa dahulu, pusat ini merupakan bumbung untuk Orientalis - sekarang, gedung ilmu yang merupakan nikmat Allah untuk setiap pelajar Muslim.
Bayangkan, perpustakaannya yang penuh dengan karya-karya terulung sarjana-sarjana Islam, ahli-ahlinya sibuk mendalami karya-karya Ibnu Taymiyyah, al-Ghazali, dan ramai lagi, dalam usaha membawa keilmuan Islam yang tiada bandingannya untuk dunia yang teramatlah memerlukannya, bangunan baru yang tersergam indah, dengan masjid yang melaungkan azan merentas menara-menara Oxford.
Di sinilah menetapnya salah seorang ulama Malaysia yang paling berpotensi, seorang sarjana Islam yang penuh dengan ilmu dari zaman agung keilmuan Islam, yang dapat membawa tulisan Imam Syafie, Imam Nawawi, Al-Ghazali ke dalam kehidupan harian kita pada hari ini, dan mencari jawapan kepada persoalan-persoalan umat Islam pada hari ini tanpa meninggalkan ilmu yang telah dikumpulkan ulama-ulama sepanjang 1400 tahun perkembangan Islam - mahir dalam Bahasa Arab mahupun Latin, al-Ghazali mahupun Thomas Aquinas, seorang guru yang sentiasa tawaduk dan rendah diri, halus dan berbudi bahasa, bak kata pepatah, semakin berisi padi, semakin tunduknya ia.
Persatuan Universiti
Oxford University Islamic Society satu keluarga kedua - dari iftar setiap malam Ramadhan, ke solat Jumaat dan usrah setiap minggu, program-program untuk memperkenalkan Islam kepada sahabat-sahabat yang bukan Muslim, juga peringatan untuk mereka yang sudahpun Muslim.
Oxford University Malaysia Club akan membantu dari hari pertama, satu jaringan pelajar baik-baik belaka, yang tidak pernah melepaskan kesempatan mengadakan majlis makan-makan, dan mengusahakan Malaysia Night setiap tahun.
Abang-abang dan kakak-kakak pasca-ijazah, dengan tahlil dan tazkirah setiap tiga minggu, makanan Malaysia yang dapat mengurangkan sedikit rindu dan pilu, keluarga baru untuk bermesra dan bersalam-salaman pada Hari Raya di perantauan jauh, rumah terbuka untuk mengeratkan silaturrahim dan mengisi perut yang teringin makanan dari bumi sendiri.
Dari segi masyarakat Malaysia dan Islam, janganlah risau buat sesaatpun.
Masa Lapang
Di luar masa akademik, memang tak akan habis pilihannya. Mungkin bekerja, tiga jam seminggu, menyediakan makanan untuk insan-insan yang tidak berumah?
Mungkin berdiri, dua jam seminggu, di jalan yang paling sibuk di Oxford, berkempen untuk rakyat Palestin yang menderita?
Mungkin memegang secawan teh setiap minggu, membincangkan diri, dunia, dan kehidupan di pejabat Oxford Muse?
Menghadiri syarahan-syarahan perdana yang tidak pernah terhenti - pakar ekonomi, pakar perundangan, ahli politik, saintis-saintis, ulama dan sarjana - asalkan mencari, pasti dijumpa.
Mengajar Bahasa Inggeris kepada anak pelarian dari negara yang menderita? Bermain badminton, skuasy, bola sepak, atau mungkin mengayuh?
Asalkan ada kemahuan, di Oxford, pasti ada jalannya.
Bandar
Bandarnya teramatlah cantik – penuh dengan bangunan lama yang tersergam indah, diselitkan dengan taman-taman yang sentiasa membawa ucapan Subhanallah! ke lidah yang kagum dengan kebesaran ciptaan Allah SWT.
Makanan Halal
Makanan halal tak perlu dirisaukan - Nando's yang halal, KFC yang halal, restoran-restoran India, empat kedai sandwic yang halal, kedai kebab setiap 500 m, restoran Itali yang halal pun ada!
Dan kalau nak jimat, makanlah makanan vegetarian yang dihidangkan dalam kolej, ataupun masak sendiri pun boleh - lima penjual daging halal berniaga di Oxford, semuanya di jalan yang sama.
Saya rasa itulah, sedikit-sebanyak, yang boleh saya kongsi tentang University of Oxford.
Untuk seorang pelajar Muslim, saya rasa memang selesa dan betul-betul sesuai, jika hendak mengaji di sini.
Jangan pedulikan mitos, jangan pedulikan suara-suara yang mengatakan bahawa untuk anda masuk Oxford itu mustahil - jika teringin mencuba, kuatkan azam, dapatkan 'straight A's', sediakan diri untuk temuduga, dan berdoalah kepada Allah SWT. - www.iluvislam.com

Polis lebih stres berbanding guru

Mohd Nasaruddin Parzi dan Muhd Amirul Faiz Ahmad

 2011/09/27

pix_gal0


Kerap bertugas luar waktu pejabat punca ramai anggota alami tekanan


KUALA LUMPUR: Lambakan beban kerja dan kerap mendapat tugasan di luar waktu pejabat atau on call menyebabkan ramai anggota polis mengalami tekanan atau stres, berbanding penjawat awam di sektor lain, iaitu doktor, jururawat, guru serta bomba.

Lambakan beban kerja termasuk kerja lebih masa yang perlu mereka lakukan kerana menyertai pelbagai operasi dan serbuan yang kebiasaannya dilakukan di luar waktu pejabat, iaitu antara jam 5 petang sehingga 6 pagi.
Hasil kaji selidik Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) juga mendapati responden merasai tekanan apabila dihantar ke sesuatu lokasi untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman serta menyertai pasukan pengaman di luar negara atau sering diarahkan bertugas ketika cuti umum, termasuk musim perayaan.
Kajian pada tahun 2007 hingga 2009 itu mendapati 53.7 peratus daripada 453 sampel kajian di enam balai polis di Wilayah Persekutuan, dipercayai mengalami stres di tempat kerja. Angka itu menunjukkan polis berada di kedudukan teratas mengatasi enam organisasi lain, iaitu bomba (47.3 peratus), guru (45.8 peratus), jururawat (42.3 peratus) serta doktor (40.7 peratus).

Hasil kajian juga menunjukkan 61.1 peratus anggota polis berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota pangkat rendah, iaitu koperal dan konstabel dengan peratusan masing-masing 56 peratus dan 51.3 peratus.

Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar yang juga penganalisis jenayah, berkata stres yang dihadapi anggota polis berpunca daripada tiga sebab utama, iaitu profesion kepolisan, peraturan atau polisi dalam organisasi serta masalah individu.

Bekerja tanpa ketentuan masa atau 24 jam sehari dengan panggilan on call pada bila-bila masa, selain perlu mengikut arahan pegawai lebih tinggi boleh mengganggu kesihatan dan kehidupan anggota polis. Malah, sesetengah kes yang disiasat seperti kes bunuh atau yang membabitkan golongan berpengaruh ada kalanya memberikan tekanan terutama tahap kerisauan yang harus diterima serta risiko ancaman terhadap diri dan keluarga, katanya.
Akhbar berkata, anggota polis yang mengalami stres boleh menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan mengakibatkan banyak perkara tidak diingini berlaku, termasuk pembunuhan sesama rakan atau bunuh diri serta salah guna kuasa sehingga menyebabkan nyawa orang lain terancam.

Malah, dikhuatiri, jika tahap tekanan yang dihadapi begitu kritikal, senjata yang dimiliki digunakan sebagai alat untuk melakukan ugutan atau sebarang aktiviti jenayah termasuk rasuah, katanya.

Namun, katanya, stres dalam kerjaya kepolisan juga boleh berlaku kerana mereka sering dilabel sebagai perasuah dan prasangka negatif masyarakat terhadap mereka.

Sedangkan mereka menjalankan tugas, tetapi tuduhan sesetengah pihak kononnya pasukan polis korup sama sekali tidak berasas kerana jumlah yang terbabit adalah kecil. Di Malaysia, masyarakat jarang memuji polis, sedangkan merekalah yang menjaga keselamatan sehingga kita selesa untuk bergerak ke mana-mana. Jika dibandingkan di Amerika Syarikat, ia tidak sama seperti apa pasukan polis kita nikmati di negara ini.

Walaupun tidak dinafikan masih ada jenayah kecil berlaku di negara ini, keseluruhannya masih terkawal, mungkin disebabkan banyak rondaan polis di kebanyakan lokasi, termasuk yang menjadi tumpuan penjenayah, katanya yang pernah menginap dua tahun di Detroid, Amerika Syarikat, iaitu bandar yang mempunyai kadar jenayah tertinggi di negara itu

Karnival Rakan Alam Sekitar Kawasan Parimen LUMUT 2011


Pada 23hb Julai 2011 Sabtu, jam 8.00 pagi, Karnival Rakan Alam Sekitar Kawasan Parlimen Lumut 2011 telah dilancarkan di SKSB. Majlis ini dirasmikan oleh YB Dato' Seri Kong Chong Ha, Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lumut. Karnival ini dibantu juga oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sepuluh, Jabatan Kesihatan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Pengurusan Sisa Pepejal dan juga Majlis Perbandaran Manjung. Antaran acara-acara yang dijalankan : Pertandingan Mewarna Pra sekolah, Tahap satu dan Tahap dua, Ucapan-ucapan daripada YB Dato' Seri Kong Chong Ha, Persembahan Sketsa dan Tarian.



       


Sambutan Hari Kebangsaan, Hari Kanak-Kanak & Hari Raya 2011

Pada 23hb September 2011, jam 7.45 pagi, warga SKSB dengan pakaian baju raya berkumpul di Dataran Wawasan untuk menyambut 3 perayaan dalam satu majlis, iaitu Sambutan Penutupan Hari Kebangsaan, Sambutan Hari Kanak-kanak dan Sambutan Hari Raya peringkat sekolah tahun 2011. Aturcara majlis pada hari tersebut telah disusun dengan padat dan menarik untuk meraikan sambutan yang begitu istimewa. Majlis telah dimula dengan Penutupan Hari Kemerdekaan. Berbagai program telah disusun seperti : Nyanyian Lagu Patrotik, Persembahan dari murid, Perarakan Bendera. Seterusnya disambung dengan program hari kanak-kanak dan juga sambutan Hari Raya dengan mengadakan jamuan raya di dalam kelas.






September 26, 2011

Tugasan 1C - Pembangunan Blog


 Pembangunan Blog (30%) – Blogger (link blog diletakkan di MyGuru Tarikh akhir: 12 Disember 2011 (Isnin)
Secara individu, pelajar dikehendaki membina blog P&P bagi satu topik pengajaran yang dipilih berdasarkan sukatan mata pelajaran dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Pelajar diwajibkan menggunakan platform Blogger (Blogger).

Pelajar dibenarkan memilih sendiri mata pelajaran yang dikuasai mereka. Bagi penilaian pembangunan blog berjumlah 20%, pelajar dikehendaki memasukkan pautan blog ke dalam forum yang akan disediakan khusus untuk tugasan ini.

Pastikan nama, nombor matrik dan topik masing-masing diletakkan di muka hadapan blog.

Markah bonus akan diberikan sekiranya pelajar berjaya mengintegrasikan aplikasi lain ke dalam blog mereka seperti YouTube, FaceBook, Scribd, Prenzi dan sebagainya. Markah bagi tugasan ini diberikan berdasarkan kandungan (10%) serta senireka persembahan blog:
KRITERIA MARKAH
Isi kandungan blog serta kualiti penyampaian 10
Senireka blog serta daya tarikan 10
Teknik serta kaedah mengajar /teknologi yang digunakan dalam blog seperti video, animasi dan sebagainya 10
JUMLAH 30
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Usagi Sailor Moon - Pen Handwriting